Tuesday 13 December 2016

Jaga Dia untuk Kami



Teks: ain akib


INSAN YANG BERGELAR SAHABAT


2003.

Hari pertama menjejakkan kaki di bumi Minden, hari pertama orientasi.

Perhatian saya tertumpu padanya ketika tegas mengekalkan tudung labuh dan melilitkan tudung empat segi yang dibekalkan di atas tudungnya. 


Walaupun berlainan jurusan, surau desasiswa menjadi titik tolak persahabatan.

Bilik TV di aras satu turut menjadi tempat terjalinnya ukhwah.

Bersama menjadi Penolong Exco Persatuan Mahasiswa Islam USM. 
Program pertama lajnah, sebuah forum dan kami ditugaskan pada bahagian menghubungi ahli panel (Bro Kamarudin dan Ustaz Jamnul Azhar jika saya tak silap).
Alhamdulillah, forum pertama kami mendapat sambutan dan berjalan lancar. 

Terima kasih Ya Allah.


USM (2004/2005)


Aidilfitri (2009)


Kem (2009)

Seorang sahabat yang bersifat keibuan dan muslimah.
Banyak yang saya pelajari apabila bersamanya.
Ketidaksefahaman, air mata, pasti muncul juga sebagai rencah persahabatan.

Acapkali ketika berhenti solat di masjid dan seumpamanya, Huda akan sentiasa tersenyum pada jemaah-jemaah yang ada.
Jika dahulu, saya jenis yang kita ambil tahu hal kita sendiri sahaja.

Namun, daripada Huda saya belajar akhlak memuliakan insan lain, sesiapa sahaja, tambah-tambah lagi di rumah Allah di mana malaikat-malaikat menaungi.

Terima kasih Ya Allah.


Rumah Orang-orang Tua Darul Hanan (2010)


EMAS (2010)

Sewaktu menemankan Huda pertama kali memberi talk berkenaan perihal wanita kepada belia perempuan di Jawi, Huda cukup risau dengan bakal penyampaiannya. 
Selalu, kami cuma terlibat dengan pengendalian slot secara kecil-kecilan.
Kali ini, Huda melakukan sesuatu yang di luar zon selesanya.

Sedar tidak sedar, Huda berjaya mencuri tumpuan mereka dan alhamdulillah, penyampaian dari hati itu Allah kurniakan dengan nikmat puas hati dan gembira yang tidak terhingga. 
Syabas Huda!
Dari pengalaman itu, perlahan-lahan Huda mendapat kekuatan untuk lebih berani berkongsi di hadapan.

Terima kasih Ya Allah.


Walimah Shuhaimi dan 'Aisyah (2011)


Pernikahan Shakila (2012)

Huda,

Seorang yang amat mengasihi keluarga.
Seorang kakak yang penyayang dan selalu bercerita impian bersama adik-adiknya.
Seorang yang tegas dalam lemah-lembut (Lemah lembut itu masih belum dapat saya contohi sepenuhnya).

Terima kasih Ya Allah.


Aidilfitri (2012)


Konvo Masters Najah (2012)







Pesta Buku Antarabangsa (2013)

Gambar foto yang tidak disangka-sangka.
Gambar ini muncul pada background reruai (booth) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Pesta Buku Antarabangsa 2014. 
Ini gambar ketika kami menyinggah di reruai DBP pada tahun lepasnya!

Merasa glamour sekejap walaupun tiada yang kenal melainkan sahabat kami.
Terima kasih pada sahabat yang cam dan menghantar gambar ini pada kami.

Terima kasih Ya Allah.



Malam pernikahan Huda (2013)

Walimah Huda (2013)

Walimah Huda (2013)

Walimah Huda (2013)

Ini semua adalah antara gambar-gambar yang masih saya ada dari mukabuku.

Hampir kesemua koleksi gambar saya dari 2008 tidak dapat lagi diselamatkan dari serangan virus.


Mengapa saya buat entri ini?

Semalam genap setahun pemergian Huda.
Sudah seminggu saya berkira mahu menyiapkan entri ini.
But i kept on delaying it.
Emosi seperti roller-coaster apabila mengimbau kenangan setahun dua ini.

Sesuatu yang punya tempat di hati ini, mahu saya abadikan di sini agar saya tidak lupa.
Agar saya masih punya rujukan untuk beringat tika saya diuji.
Agar saya bersyukur kerana Allah pernah pinjamkan sesuatu yang berharga.
Agar ada kebaikan yang dapat dimanfaatkan bersama bagi pembaca.
Agar pembaca dapat sama-sama sedekahkan Al-Fatihah buat Huda.

Terima kasih Ya Allah.


Konvo MSc. Huda (September 2013)



2014

Berat badan Huda menyusut perlahan.

Acute Myleoid Leukemia (AML). 
Leukimia yang tidak punya tahap atau peringkat. Jenis laju.
Kemoterapi demi kemoterapi dijalankan.
Tika ini saya belajar bahawa buah durian belanda amat baik buat pesakit leukimia.
Alhamdulillah, di penghujung tahun Huda selamat membuat stem cell transplant daripada adiknya, Husna.

Doktor kata, tahun 2015 adalah tahun baikpulih bagi Huda.
Kondisinya sama seperti bayi baru lahir, makanan perlu dijaga, terik panas tidak dibenarkan.
Terkadang demam, terkadang menggigil adalah simptom yang sekali sekala menjenguk.



MEI 2015

Huda berasa agak sihat dan sempat kami keluar bersama ke Wangsa Walk Mall
Di dalam bangunan berpenghawa dingin.
Huda mahu belanja kek Secret Recipe untuk birthday saya tahun lepas manakala saya pula bertegas ingin belanja dia untuk birthdaynya yang jatuh pada bulan April lalu.

Baiklah.
Mari tidak terus bertekak.
Masing-masing belanja kawan masing-masing ya.



SEPTEMBER 2015


Malam kenduri adik Huda, September 2015


Menjelang walimah Ammar, adik Huda.
Saya hanya berkesempatan hadir pada malam sebelum majlis, keesokan hari ada kenduri di Perak.

Ceria wajah kakak pengantin ini.
Dia sibuk menguruskan hal majlis dan aktif ke sana ke mari bersama suaminya.
Saya siap import anak saudara untuk datang membantu namun semua goodies sudah pun selesai diuruskan.

Suka saya lihat wajahnya kembali berisi namun dengan pantas Huda mencantas,

"Ain, ni tembam tak ori. Tembam sebab steroid."

"Tak kisahlah, janji Huda sihat."


Ini gambar kami di ruang khemah kenduri.

Gambar terakhir bersama Huda.



OKTOBER 2015

Huda didiagnos Graft Versus Host Disease (GVHD) di mana tindakbalas negatif sel penderma pada sebahagian organ.



NOVEMBER 2015

Huda mohon solat hajat buatnya.

Dan,

Ini pertama kali saya mendengar permintaannya sebegitu.
Hati menjadi tidak senang.

Saya hadkan juga menghubungi Huda kerana ada kalanya emosi Huda tidak stabil atau fizikalnya menjadi lemah. Tidak mahu kerap mengganggunya dan bertanyakan soalan yang sama.



AWAL DISEMBER 2015

Sahabat kami mengkhabarkan bahawa Huda telah berada di dalam wad buat beberapa minggu. Diikuti dengan sesak nafas dan dimasukkan ke dalam ICU, bergantung pada bantuan mesin pernafasan.

Ada waktu yang Huda sedar kembali, namun sebentar cuma, doktor lelapkan semula agar dia tidak keletihan ingin bercakap.

Sahabat-sahabat lain turut sama tidak putus memanjatkan doa dan hajat buat Huda.


8 DISEMBER 2015

Selesai sahaja peperiksaan pertama di Ipoh, saya pulang ke KL.
Peperiksaan seterusnya berjarak seminggu.

Gerak hati meronta ingin melihat Huda.



9 DISEMBER 2015

Berjanji dengan Siew Yean untuk menziarahi Huda di Hospital Ampang, namun Siew Yean yang tiba-tiba ada hal yang tidak dapat dielakkan, tidak dapat turut serta.

Tiba waktu melawat jam 12.30 tengahari, saya duduk menanti akan wajah-wajah yang saya kenali.
Tidak kuat untuk menghubungi ahli keluarga Huda melalui telefon.

Hampir jam 1 tengahari, kelihatan suami Huda.
Sejurus bercakap dengan beliau, terus saya melangkah ke arah ICU.
Menunggu seketika Umi Huda keluar dari ICU dan kemudiannya masuk sekali lagi bersama saya.

Tiba sahaja di hadapan bilik yang menempatkan Huda seorang, air mata laju berjuraian.
Terlantar lemah sekujur tubuh yang selalu berdampingan dengan saya ke merata tempat.
Berbagai tiub di kelilingnya.
Sebak.
Apatah lagi melihat air mata seorang ibu memandang sayu pada anaknya.

Doa demi doa dipanjatkan pada Ya Latif...

Ya Allah... Engkau angkatkanlah kesakitan daripadanya...

Allahu...


Selesai melawat, kami beriringan menuju ke surau di tingkat 8.
Usai solat fardhu, saya perhatikan Umi Huda bangun lagi meneruskan dengan solat hajat.
Saya berbuat yang sama.

Sungguh, saya belajar sesuatu yang berharga.
Selama ini Huda selalu menceritakan model yang dikaguminya adalah uminya.
Dan kini saya faham mengapa dan dari mana tumpahnya keindahan akhlak Huda.
Tika lemah, kita masih punya Tuhan.
Rendahkan diri dan mohonlah, sujudlah padaNya.
Kita semua hak mutlakNya.

Kami kembali semula ke koridor ICU.
Kami berdua tidak tahu mahu berkata apa.
Cuba menarik warna ceria hinggap di wajah.
Berbual perihal kerja dan keluarga kami masing-masing sambil mengisi masa Umi Huda menunggu untuk waktu melawat sesi petang.

Menemani Umi Huda makan tengahari kemudiannya walaupun sudah agak lewat, barulah ternampak senyumnya.



10 DISEMBER 2015

Keesokan harinya, saya kembali lagi ke Hospital Ampang bersama sahabat yang tidak putus menghubungi keluarga Huda bertanya khabar Huda, Aishah Sumap.
Menuju ke arah ICU, kami berpapasan dengan Abah dan Umi Huda yang baru sahaja keluar dari ICU.

Subhanallah...
Abah Huda senyum manis, mengalukan kehadiran kami.
Tenang wajahnya.

Ya Qawiyy, sepertimana Engkau kurniakan kekuatan buat mereka, Engkau kurniakanlah juga kekuatan buat kami... 

Kami berdua masuk menuju ke bilik Huda.

Kali ini berbeza syahdu yang menerpa.
Bersama sahabat yang berkongsi suka duka, jentikan emosi tidak dapat ditahan.
Kami berpelukan berdua sambil memanjatkan doa dan mengimbau kehendak Huda yang belum terlunas. 

Ya Latif, Ya Latif, Ya Latif....
Engkau Yang Maha Lembut....
Peluklah dia dengan dakapan kasih sayangMu...
Ringankan kesakitannya...



12 DISEMBER 2015

Pagi itu saya sudah berada di Ipoh sekembalinya dari KL semalam.
Mak ikut ke Ipoh kali ini.
Sambil menunggu Mak menghantar keretanya servis, masuk mesej daripada Umi Huda.

Memaklumkan Huda sudah kembali kepada penciptaNya.

....

Terdiam saya menghadam.

Serba salah untuk menghubungi Umi Huda, maka saya menghubungi Aishah untuk kepastian.

Benar.

Menggigil tangan.
Air mata tumpah sekali lagi menjadi teman.

Mengumpul keberanian, saya mendail nombor Umi Huda.
Ringkas pertanyaan mengenai waktu pengebumian dan lokasi.
Akan dimaklumkan kemudian.

Pantas saya sebarkan pada sahabat-sahabat yang lain.

Sewaktu Mak masuk kembali ke dalam kereta, saya sampaikan berita pemergian Huda.
Mendung wajah Mak.

"Nak balik KL tak?"' tanya Mak.

"Nak."

Kami terus menuju ke stesen keretapi Ipoh yang tidak jauh dari situ.

Hanya tiket jam 6 petang sahaja yang ada.

''Habis tu, nak drive ke?'' tanya Mak sekembalinya saya dengan berita ketiadaan tiket.

''Haa. Drive la. Kebumi tengahari, insyaAllah sempat."



ARWAH SAHABAT WANGI

Setibanya di masjid berhampiran rumah arwah sahabat wangi, bertemu dengan Aisah yang tiba dari Muar.
Kami melangkah bersama masuk.
Keranda jenazah arwah sahabat wangi berada di bahagian tepi masjid sambil bacaan Yaasin kedengaran. 
Di satu sudut kelihatan sosok Abah Huda dan suaminya, sayu mengalunkan Yaasin.

Pilu dan sebak memuncak tika Aishah pula sejurusnya tiba dari Negeri Sembilan.
Perlahan kami turut  membaca Yaasin buat arwah sahabat wangi.
Moga pahala bacaan ini menjadi sedekah buatnya.

Menghampiri waktu zohor, kami bersiap untuk solat.
Melangkah ingin memperbaharui wudhu, keranda jenazah sahabat wangi dibuka untuk tatapan terakhir.
Allahu...

Kami menghampiri jenazah sahabat wangi.
Kelihatan ahli keluarganya bergilir memberi kucupan terakhir.
Cukuplah kami memandang dengan penuh kasih dari sisi.

Tengahari itu, tidak panas dan tidak juga sejuk.
Tenang.

Sebelum menunaikan solat zohor, tok imam masjid mengkhabarkan berita tentang solat jenazah yang akan didirikan selepas solat fardhu.
Anjurnya kepada jemaah untuk mengiringi jenazah kerana itu termasuk dalam hak seorang muslim ke atas muslim yang lain.

Solat jenazah diimamkan oleh pasangan hati arwah sahabat wangi, suaminya.
Sebak menerpa apabila pada takbir terakhir solat jenazah, terdengar getar syahdu daripada sang imam.

Ya Ghafuur... Engkau angkatlah segala dosa arwah sahabat wangi kami...
Ya Qawiyy... Kuatkanlah hati-hati keluarganya dan hati-hati kami...

Perjalanan menuju ke perkuburan diarak mendung dan titis-titis hujan turun mengiringi persemadian abadi arwah sahabat wangi.
Talkin yang dibaca tegas menjadi peringatan, namun berlagu sendu di penghujungnya.

Doa...
Doa dibaca bersungguh-sungguh sebagai penghormatan terakhir buat arwah sahabat wangi ini.

Ya Latif... Engkau Yang Maha Lembut...
Ya Sami'... Engkau Yang Maha Mendengar...


Nurulhuda Sanusi...

Huda pergi jumpa cinta sejati...

Allah...

Jaga dia untuk kami...

Ya Muhaimin... Engkaulah sebaik-baik Penjaga.


AL-FATIHAH.

Genap setahun pemergian Huda semalam.
12 Disember 2016 bersamaan 12 Rabiu'l Awal 1438H.


*Mohon maklumkan jika ada pembetulan pada mana-mana bahagian entri ini

Monday 30 May 2016

Turki (Siri 9: Taksim-Doha-KLIA)



Teks: ain akib

Hari kelapan.

Imej: Retaj Royale Hotel

Imej: Pengimbas beg di pintu masuk

Check out dari hotel.

Hotel terakhir kami setelah dua malam di sini.

Selesa.


Adik bongsu saya sehingga ke hari ini masih teringat keempukan katil di hotel ini.

Amboih laa..;)


ISTANBUL: TAKSIM SQUARE

Menuju ke Taksim pagi ini. 

Cuaca agak kelam sedikit sejurus keluar dari hotel.


Imej: Sepanjang perjalanan ke Taksim

Kami turun dari bas berhampiran Dataran Taksim.

Dataran ini merupakan pusat tumpuan pelancong.

Apa yang menarik ya?

Monumen yang tersergam tinggi di tengahnya.
Ala-ala Tugu Negara di negara kita.

Monumen ini mengenang zaman kemerdekaan mereka menjadi Republik Turki.


Imej: Monument of The Republic

Imej: Merpati (atas), kereta kebal (bawah)

Dataran ini juga dikunjungi oleh burung merpati.

Ada juga penjual makanan burung berlegar membuat jualan kepada pelancong yang tiba.

Sempat satu ketika melihat trak polis lalu di situ.


Imej: Istiklal Street

Taksim juga terkenal dengan jalan yang panjang bagi pejalan kaki.

A long pedestrian shopping street.

Selalu juga dibuat sambutan, perhimpunan dan perarakan di jalan ini.

Tarikan di bahagian kiri dan kanan sepanjang jalan ini turut menjadi tumpuan.


Imej: Manis-manisan. ;) 

Imej: Restoran makanan segera

Imej: Shawl (kiri)

Kedai yang pelbagai, restoran makanan segera, shopping mall juga ada.


Imej: Jagung panas, buah berangan panas (chestnut), cleaner 

Terdapat juga penjual stall.

Jagung rebus, buah berangan bakar...

Keadaan di sepanjang jalan ini bersih dan kemas.


Imej: Tram klasik

Bertambah menarik dengan adanya tram klasik yang beroperasi di sini. 

Tak naik, bergambar sahaja dengannya, :)



Bercerita mengenai Taksim ini, dua hari selepas kami berada di sini, diberitakan berlakunya letupan di Istiklal Street ini.

Dilaporkan 5 orang meninggal dunia dan 36 orang cedera.

Jangkaan mereka ada kaitan dengan peritiwa bom meletus di Ankara beberapa hari sebelum itu yang meragut nyawa 37 orang awam.

Dua peristiwa letupan dalam masa seminggu di Turki.
Targetnya orang awam.
Waktu yang hampir sama dengan waktu kami berada di situ namun alhamdulillah bukan pada waktu berlaku.

Antara pautan yang boleh menjadi rujukan:



MAKAN TENGAHARI TERAKHIR DI TURKI

Berjalan kaki dari Dataran Taksim ke restoran untuk makan tengahari.


Imej: Meow

Bertemu makhluk kesayangan Rasulullah SAW ini.

Dia takut, jadi ambil gambarnya sahajalah.

:)


Imej: Pintu masuk restoran (kiri) dan tisu atas meja makan (kanan)

Imej: Sup dan main course

Sup kekacang yang pekat dan panas menjadi pembuka selera.

Pizza, kambing bakar, kacang lenyek, sayur dan salad menjadi santapan.

Alhamdulillah mengenyangkan.

Tekak sudah belajar beradaptasi sebaiknya dengan makanan di sini, :)



Coretan kedua terakhir saya di Turki, di mukabuku :

Lunch terakhir di Turki.

Merindui masakan Malaysia terutamanya sambal.
Tarbiyah makan daging kambing dengan baunya...
Tarbiyah makan ikan seekor.
Tarbiyah makan masakan negara lain yang 125 darjah berbeza.
- Tengahari, 17 Mac 2016, Taksim


LAPANGAN TERBANG ATARTUK, ISTANBUL

Selesai makan, kami bergerak ke lapangan terbang yang tidak jauh dari situ.

Sambil menanti kaunter penerbangan Qatar Airways dibuka, kami solat jamak Zohor-Asar di surau lapangan terbang.


Imej: Sebelum berlepas balik ke Malaysia

Kemudian kami bergambar buat kali terakhir bersama Serkhan dan ahli kumpulan kami semuanya.

Sedih juga waktu ini sebab banyak momen dan memori kami bersama.

Dari bersusah payah sama-sama angkat turun naik beg dari bas dan ke dalam bas semula di 5 buah hotel, terperangkap seketika di tepi highway dalam salji, gurau senda sepanjang perjalanan di bumi Turki dan banyak lagi.

Pengalaman bersama inilah yang mahal.

Priceless:)

Moga bertemu lagi insyaAllah.


Imej: Fahri

Si cilik yang duduk di hadapan kami sepanjang dalam bas, :)


Imej: Dengan penjual aiskrim acah-acah, :p

Nak juga cari aiskrim acah-acah sebelum meninggalkan Turki.

Gigih pusing-pusing di lapangan terbang yang besar ini memandangkan masih lama lagi untuk tiba waktu berlepas.

Alhamdulillah tercapai hasrat!

Perisa pistachio dan coklat menjadi pilihan.

Harga satu kon aiskrim ini adalah 16TL.

Ya, mahal.
Well...at the airport, what do you expect right?

Kami kongsi satu aiskrim ini sebab semua pun nak merasa sahaja.

Juga nak rakam aksi acah-acah jual-beli aiskrim ini, hihi.


Video aiskrim Turki, ;)


Imej: Qatar Airways dan Istanbul dari udara

Penerbangan kami mengalami kelewatan yang tidak kami fahami apabila diterangkan dalam bahasa turki.

Kami andaikan faktor cuaca menyumbang pada kelewatan itu.
Pemalar tak boleh ubah.
Hehe (Kalau dah budak sains tu budak sains jugaklah ya). 

Maghrib baru sahaja masuk ketika kami menaiki pesawat.
Penerbangan dari Istanbul ke Doha, Qatar mengambil masa 3 jam lebih.

Boleh pula terus tertidur selepas itu.

Ketika menghampiri Doha untuk transit, baru saya tersedar yang saya belum menunaikan solat menghormati waktu, jamak Maghrib-Isya.


"Maám, please straighten your seat," kata pramugara handsome di laluan antara tempat duduk penumpang.

"Oh, she's praying (dengan suara yang perlahan). Could you please remind her to straighten the seat after she finish her prayer?" pintanya kepada Thuraiya yang duduk di sebelah saya. 

"Ok," jawab adik saya.


Ok.

Jangan tanya bagaimana saya mendengar perbualan ini walaupun saya sedang solat.
Hoho.

Alhamdulillah, petugas penerbangan ini menghormati orang yang sedang solat dan dari situ ternyata itu adalah perkara biasa bagi mereka.

Bagus.


DOHA

Tiba di Doha, kami terus menuju ke arah pintu penerbangan ke KLIA memandangkan kelewatan kami berlepas tadi.
Bergerak tanpa henti sehinggalah tiba di dalam perut kapal terbang.

Dari gelap hingga cerah terik siang.

Antara Zohor dan Asar 18 Mac, alhamdulillah kami tiba di KLIA.

Seronok dijemput oleh anak-anak buah yang cilik, hilang penat melihat mereka.

Abah pesan, sampai rumah nanti qadha semula solat menghormati waktu yang dibuat di atas kapal terbang tadi, Maghrib dan Isya.

Baik Boss!


Catatan mukabuku saya yang terakhir di Turki:

Wailalliqamaássalamah bumi Turki.

Berpusing kurang lebih seminggu, mengenali sebahagian daripada benua eropah.

Perhentian yang terakhir, Istanbul atau nama lamanya, Constantinople yang dibuka oleh Sultan Muhammad Al-Fatih kini maju dan moden.

Selepas penaklukan Bani Uthmaniyyah ini, fahaman sekularisme yang dibawa oleh Mustafa Kamal Atartuk lebih mendominasi dari beberapa sudut.

Apa pun, berharap dapat menjejakkan kaki ke sini dengan lebih ilmu dan di musim yang lain.

Biiznillah.

(gambar dan lokasi 4 hari lepas)
-Petang, 17 Mac 2016, Istanbul

Jaga Dia untuk Kami

Teks: ain akib INSAN YANG BERGELAR SAHABAT 2003. Hari pertama menjejakkan kaki di bumi Minden, hari pertama orientasi. ...